Klirieng, merupakan satu
perkataan yang agak asing bagi kebanyakan rakyat Malaysia lebih-lebih lagi bagi
penduduk yang tinggal di Semenanjung Malaysia. Namun begitu, sebenarnya
Klirieng ini sering di pamerkan di muzium – muzium dimana kebanyakan orang
menyangkakan ianya satu perhiasan yang berasal dari Sarawak.
Klirieng, sebenarnya
merupakan satu ukiran yang dibuat diatas sebatang kayu bagi tujuan
pengebumian. Amalan ini asalnya diamalkan oleh suku kaum Kajang yang
tinggal di Belaga, daerah Kapit, Sarawak. Selalunya ia dibuat oleh
orang-orang yang berkemampuan. Ini adalah kerana bagi ahli keluarga si mati
yang ingin menempah Klirieng perlu memberi makanan kepada pembuatnya sepanjang
tempoh kerja-kerja ukiran Klirieng. Ukiran ini juga dilakukan secara bergotong-
royong bagi sesebuah rumah panjang. Lazimnya ukiran ini mengambil masa di
antara satu hingga tiga bulan untuk menyiapkannya bergantung kepada saiz batang
kayu yang di ukir. Apabila batang Klirieng ini siap diukir ianya akan
didirikan secara menegak dan tulang-tulang si mati akan disimpan di dalam tajau
(tempayan) dan diletakkan diatasnya.
Namun begitu, amalan
Klirieng sebagai satu tempat pengebumian ini sudah tidak diamalkan hampir
seabad yang lalu kerana kebanyakan suku kaum Kajang ini sudah menganuti
agama-agama yang lain. Kini, ianya dibuat sebagai satu mercu dan perhiasan
namun begitu bagi suku kaum Kajang terutama suku kaum Kajang Kejaman masih
mempercayai untuk menghasilkan Klirieng ini walaupun sebagai satu
perhiasan, adat dan ritual perlu diadakan bagi mengelakkan sebarang perkara
yang tidak baik. Mereka juga percaya, Klirieng hanya boleh dilakukan oleh
dewasa atau orang-orang yang sudah berkahwin.
Untuk menghasilkan
Klirieng yang baik, batang kayu yang digunakan adalah dari jenis berlian. Ini
adalah kerana kayu dari jenis ini mudah diukir dan ianya mampu bertahan beratus
tahun lamanya. Motif ukirannya selalu menggunakan 2 elemen, iaitu corak paku
pakis yang dikatakan sinonim dengan alam dan juga berbentuk kelaman (topeng
yang bertaring) yang dikatakan berkatian dengan alam roh.
Melihat dari konteks
seni tampak, Balai Seni Visual Negara, merasa terpanggil untuk mengenengahkan
ukiran ini agar ianya tidak ditelan zaman. MelaluiPROGRAM
Artis Tamu:
Kesinambungan Hayat, Balai Seni Visual Negara telah menjemput pakar ukiran
Klirieng yang berasal dari suku kaum Kajang Kejaman, Bapak Jilan Asoh untuk
mengukir Klirieng ini secara langsung di hadapan bangunan Balai Seni Visual
Negara. Melalui program ini juga Balai Seni Visual Negara menjemput 2 orang
pelukis muda untuk mendalami ilmu ukiran ini selama sebulan bermula 7 April
yang lalu dan akan berakhir pada 6 Mei 2008. Demonstrasi dan bengkel ukiran ini
adalah pertama kali yang di adakan di Kuala Lumpur.
Program ini merupakan
sebahagian dari program Pameran Susurmasa sempena sambutan ulang tahun ke 50
Balai Seni Visual Negara. Orang ramai dijemput hadir untuk menyaksikan Pameran,
demonstrasi dan bengkel ini dan masuk adalah percuma.
Baik👍👍
ReplyDeleteBaik
ReplyDeleteGood
ReplyDelete